? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Jumaat, 2 Oktober 2009

Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan

TEKNIK MENDENGAR EFEKTIF

1. Memberi TUMPUAN ketika GURU MENGAJAR.

2. MENANAMKAN minat terhadap MATA PELAJARAN.

3. Menanam perasaan MINAT terhadap orang yang bercakap.

4. Mengikut kelajuan RENTAK orang bercakap.

5. CATATKAN isi-isi penting yang kamu dengar.

6. ULANG KAJI tajuk yang akan diajar.

7. JANGAN BERMAIN ketika guru mengajar.

8. Jika ada soalan TANYA SEGERA.

9. SEDIA untuk mendengar.


TEKNIK PENGURUSAN MASA

ADAKAH ANDA TELAH MENGGUNAKAN MASA DENGAN BIJAK ?
JIKA "TIDAK" !
PATUHI PENGURUSAN MASA YANG EFEKTIF DI BAWAH !


MENYELESAIKAN SEMUA TUGASAN SEGERA ! JANGAN BERTANGGUH !

MEMBERIKAN KEUTAMAAN KEPADA KERJA PENTING.
MEMBERI PELUANG ORANG LAIN MEMBANTU TUGAS ANDA.
MENGUTAMAKAN TUGAS SENDIRI DARIPADA TUGAS ORANG LAIN.
MEMBUAT PERANCANGAN RAPI KE ATAS SATU-SATU PERKARA.


10 TEKNIK BELAJAR BERKESAN


1. TENTUKAN MATLAMAT BELAJAR KAMU

2. BELAJAR MENGIKUT JADUAL WAKTU YANG TELAH KAMU SEDIAKAN

3. BERUSAHA MENCINTAI PELAJARAN

4. SENTIASA BERFIKIRAN TENANG, GEMBIRA DAN CERIA

5. HINDARI MASALAH

6. MENJAUHI AKTIVITI YANG TAK BERFAEDAH

7. SETIAP YANG KAMU BACA MESTI INGAT

8. BELAJAR DALAM KEADAAN SEGAR

9. MEMOHON PETUNJUK DARI TUHAN

10. JIKA BERJAYA UCAP TAHNIAH PADA DIRI SENDIRI

Rabu, 30 September 2009

Peribahasa Melayu

- Kaduk kena baja
maksudnya : Orang yang tidak berguna, tetapi amat lama hidupnya

- Kaki terdorong badan merasa; lidah terdorong emas padahnya -
maksudnya : Segala janji harus ditepati, bila berbuat sesuatu, harus berani menanggung akibatnya

- Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang -
maksudnya : Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan

- Badan bersaudara; emas perak tiada bersaudara; kasih saudara sama ada, kasih bapa menokok harta yang ada, kasih ibu sama rata; kasih sahabat sama binasa -
maksudnya : Bagaimana sekalipun orang berkasih-kasihan, tetapi dengan mudah juga dapat diceraikan, kerana orang lebih mengutamakan harta-benda

- Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah -
maksudnya : Lebih baik mati daripada menanggung malu. (Peribahasa lain yang sama makna: Biar berputih tulang, jangan berputih mata).

- Macam anak dara tak datang tunangnya -
maksudnya : Selalu membengkalaikan pekerjaan; membuat kerja tidak pernah siap; terlalu lambat.

- Panas setahun hujan sehari, liput tanjung dengan pulau -
maksudnya : Kebaikan hilang kerana kejahatan yang sedikit.

- Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat -
maksudnya : Orang yang sabar akan berhasil usahanya.

- Sakit pandan tidak tahukan duri, sakitnya badan tidak tahukan diri -
maksudnya : Orang yang tidak tahu akan dirinya sendiri.

- Tak ada kubangan yang tak ada kodok -
maksudnya : Tidak ada negeri yang tidak ada perempuan jahat

Selasa, 29 September 2009

bahasa jiwa bangsa

Demikianlah kalimah yang sering kita tulis, sebut atau perkatakan...namun adakah kita semua faham apakah yang dimaksudkan dengan bahasa jiwa bangsa ini...sebelum aku bercerita dengan lebih lanjut mengenai bahasa jiwa bangsa ini aku nak kongsi sedikit pengalaman dengan pembaca semua...sebelum aku diterima masuk ke UPSI ni, aku menghadiri temuduga..dalam temuduga tersebut aku ditanya apa yang awak faham tentang bahasa jiwa bangsa..huhuhu...kelakar je rasa...aku pun tak tahu apa yang aku cakap...main bedal je...huhu..disebabkan itu, aku tergerak hati untuk berkongsi apa sebenarnya bahasa jiwa bangsa ni...

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''. Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan. Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia. Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme. Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing.
Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Jumaat, 4 September 2009




Bahasa Kebangsaan perlukan gerakan `Penyelamat'

Rakyat berasa teruja apabila Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan memberikan perhatian yang luar biasa dalam memperjuangkan martabatkan bahasa Melayu sejak tahun lalu lagi.

Kita tentulah bimbang jika lambat-laun masyarakat berbilang kaum negara ini mulai mengabaikan bahasa rasmi negara.

Hakikatnya, kita sedang berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyebabkan kita ragu-ragu, malah kita juga menanyakan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Secara jujur, kita berada dalam dilema.

Kita tidak mahu dalam mengejar zaman teknologi maklumat dan komunikasi, bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat. Kita harapkan gerakan untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang akan diberi suntikan, hala tuju dan nafas baru ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Zaman berubah maka pendekatan perjuangan juga harus berubah.

Ingat bagaimana bersemangatnya orang Melayu berkobar-kobar ketika bangkit mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan untuk dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika itu `Keranda 154' diusung sebagai simbolik jika bahasa Melayu cuba ditentang atau diketepikan - itu semangat tidak mahu bahasa Melayu dikuburkan.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semangat mendaulatkan Bahasa Kebangsaan kian lesu. Semakin banyak pihak yang tidak peduli penggunaan bahasa yang betul.

Isu bahasa pertuturan yang bercampur aduk masih didebatkan. Tetapi kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan perlu diberi tanda noktah.

Kesilapan bahasa sama ada dari segi penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu yang betul, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pengolahan ayat ataupun mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris banyak berlaku atau dipamerkan di tempat umum. Jika kesalahan ini tidak dicegah dengan segera, ia akan mencemarkan maruah bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Alasan biasa seperti sasaran iklan atau maklumat ditujukan kepada kaum yang memahami atau boleh membaca catatan tersebut tidak wajar dilayan lagi.

Berleluasanya papan iklan yang langsung tidak menghormati Bahasa Kebangsaan ini, mungkin ada kaitan dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipimpin oleh menteri bukan Melayu maka kita faham `kekurangannya' dalam memberi keutamaan terhadap soal memartabatkan bahasa Melayu. Tetapi majoriti pengarah dan pemimpin PBT adalah Melayu sepatutnya peka dan sedar tentang kecelaruan penggunaan bahasa Melayu yang menghiasi bangunan dan jalan raya di kawasan pentadbiran masing-masing.

Jangan disebabkan lesen sudah dibayar maka pemasangan iklan dengan bahasa yang memalukan dibiarkan. Malah ada yang sudah bertahun-tahun terpampang namun untuk PBT menegur dan mengarah ditukar, belum nampak dilakukan.

Usah biarkan tanggungjawab untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini diserah bulat-bulat kepada DBP. Jika DBP bersuara lantang pun apa maknanya jika mereka tiada gigi dan taring untuk `menggigit' pihak yang enggan mematuhi peraturan bahasa Melayu.

Jika pemimpin kerajaan, PBT, DBP, pejuang dan pencinta bahasa serta rakyat sayangkan bahasa Melayu dan benar-benar ingin menyelamatkannya, kita harap ia jangan setakat bercakap sahaja. Satu tindakan benar-benar berani dalam `mengajar' pihak yang ingkar perintah menghormati Bahasa Kebangsaan harus dilakukan.

Episod sedih dan memalukan dalam cabaran memartabatkan Bahasa Kebangsaan ini perlu diubah. Kerajaan melalui kenyataan Hishammuddin telah memberi isyarat jelas bahawa sebarang akta atau dasar berkaitan bahasa Melayu tidak akan teragak-agak untuk dipinda.

Dalam hal ini adalah wajar jika Akta DBP dipinda. DBP tidak boleh lagi diletakkan dalam dilema pada mata umum. DBP mempunyai tanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu tetapi tidak dapat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau mencemarkan penggunaannya.

Akta DBP tidak membenarkan ia bertindak lebih jauh. Jadi tugasnya terhenti separuh jalan.

Barangkali undang-undang yang ada pada PBT jika dianggap kurang berkesan untuk menguatkuasakan pematuhan terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul, maka buatlah pindaan.

Usaha atas apa nama sekalipun sama ada memperkasa, mendaulat atau memartabatkan Bahasa Kebangsaan tidak patut berjalan hangat-hangat tahi ayam.

Malah kita percaya masyarakat majmuk negara ini bukan tidak boleh dilentur supaya menghormati dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Biasanya cara lisan memang sukar untuk melentur pendirian liat masyarakat negara ini untuk menghormati penggunaan betul bahasa Melayu. Alasannya ialah `sudah biasa.' Justeru pindaan yang hendak dibuat perlu dimasukkan unsur denda sehingga mereka akur.

Jika masyarakat Melayu atau bukan Melayu berasa bahasa Melayu tidak ada kelas untuk digunakan dalam segala urusan harian maka kita harus peringatkan mereka. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan jati diri bagi bangsa Malaysia.

Khamis, 20 Ogos 2009

ramadan muncul lagi......



AHLAN wasahlan! Begitulah ucapan 'selamat datang' seharusnya diberikan untuk menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, tidak ubah seperti memuliakan tamu yang sangat dinanti-nantikan.

Bagi golongan beriman, kehadiran Ramadan seperti menunggu isteri yang sudah lama tidak bertemu, untuk melepaskan rindu setahun sekali.

Justeru, mereka mengisi kehadiran Ramadan dengan amal ibadat yang banyak berbanding bulan lain seperti solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran dan berzikir.

Tapi, bagi sesetengah orang, Ramadan dianggap seperti bulan lain, cumanya bulan itu umat Islam berpuasa, jadi mereka pun turut berpuasa.

Perbuatan berpuasa yang mereka lakukan sekadar mengikut orang lain tanpa mahu ambil tahu pahala dan keberkatan berpuasa sepanjang Ramadan.

Bagi golongan ini, berpuasa adalah adat, bukan hukum sedangkan Allah mewajibkan umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.

Kekeliruan itu menyebabkan ramai yang berpuasa tetapi tidak mendapat sebarang pahala puasa, sekadar letih dan dahaga.

Persoalannya, adakah berpuasa pada bulan Ramadan itu adat atau hukum?

Ramadan semulia-mulia bulan, penuh kerahmatan, keberkatan dan keampunan, malah Allah memberikan ganjaran paling istimewa.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila tiba bulan Ramadan, terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai." (Hadis riwayat Ahmad)

Ramadan bulan 'festival' bagi umat Islam beramal ibadat. Di samping mengutamakan ibadat fardu, siang berpuasa, malam bersolat sunat Tarawih serta bertadarus al-Quran, berzikir, bersedekah dan iktikaf di masjid.

Pendek kata, manifestasi keberkatan, kemuliaan dan keagungan Ramadan dirasai di setiap penjuru dunia.

"Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 183)

Puasa adalah ibadat yang difardukan ke atas umat Islam sebagaimana umat terdahulu dan ia satu daripada Rukun Islam.

Ia setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah. Pelaksanaan ibadat itu bukan saja menandakan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhan, malah menguji keikhlasan dalam amalan.

Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, dalam keghairahan beribadat, sesetengah masyarakat Islam keliru di antara hukum, iman dan adat, sehingga Ramadan tidak memberikan sebarang pengertian, datang dan berlalu begitu sahaja.

Pengisian sebulan Ramadan tidak meninggalkan bekas kepada mereka. Berpuasa dan beribadat tidak lebih sekadar mengikut adat masyarakat turun temurun, manakala iman dan hikmah yang ada padanya tidak dicapai.

Nabi Muhammad s.a.w ada mengingatkan persoalan ini dalam sabdanya yang bermaksud: "Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa balasan melainkan lapar dan dahaga."

Rugilah mereka yang berlapar dan dahaga sepanjang hari seperti yang lain, tetapi ibadat puasanya itu tidak diberikan ganjaran.

Menyorot pengimarahan Ramadan dalam masyarakat Islam Malaysia, apakah bentuk amal ibadat mereka seperti puasa, solat sunat Tarawih dan budaya berbelanja benar-benar berkonsepkan hukum dan keimanan atau tidak lebih sekadar adat?

Bekas Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji, Datuk Md Daud Che' Nghah, berkata ramai masyarakat Islam di Malaysia berpuasa mengikut adat, bukannya keimanan.

Buktinya, fasa pertama Ramadan mereka memenuhi masjid dan surau tetapi menjelang pertengahan bulan, ia berkurangan jemaah, sehinggalah minggu terakhir, jumlahnya amat ketara.

"Hiburan pula berlebih-lebihan manakala golongan ulama hanya membiarkan senario itu.

"Contoh puasa adat lagi ialah berlakunya pembaziran, sedangkan perbuatan membazir itu dilarang dan dikira amalan syaitan.

"Tetapi yang kita lihat, ramai menyerbu bazar Ramadan membeli beraneka jenis juadah, sedangkan isteri di rumah menyediakan menu, tidak habis dimakan.

"Saya tidak salahkan bazar Ramadan kerana memudahkan orang berpuasa mendapatkan makanan tetapi bukan untuk tempat membazir," katanya.

Md Daud berkata, orang yang berpuasa mengikut adat tidak sabar menanti 1 Syawal untuk bergembira, malah dada menjadi lapang apabila berakhirnya Ramadan, sedangkan orang beriman menangisi pemergian Ramadan.

"Saya teringat satu forum perdana di sebuah universiti di Skudai, Johor, yang bertemakan Ramadan kedatanganmu dinanti, pemergianmu ditangisi.

"Tetapi rakyat Malaysia masih ramai berpuasa menunggu raya. Cuma kali ini tak nampak lagi slogan raya awal dan ini menunjukkan satu perubahan yang baik," katanya.

Katanya, pada akhir Ramadan, banyak berlaku kes maut kemalangan jalan raya kerana masing-masing sibuk balik kampung, seolah-olah kena mati dahulu sebelum beraya.

"Mengapa berebut balik beraya, sampai masing-masing tinggalkan masjid dan surau, malah tinggal puasa.

"Sepatutnya, pada akhir Ramadan, umat Islam digalakkan kerap meluangkan waktu di masjid dengan iktikaf," katanya.

Berbuka puasa pula katanya, masih ada sesetengah yang tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w, iaitu tidak memulakan dengan tamar atau kurma, kerana adatnya dengan menu lain yang lebih enak dan mengenyangkan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka puasa dengan beberapa biji buah tamar. Jika kamu tidak mendapat buah tamar, hendaklah berbuka dengan air."

Tamar walaupun buahnya tidak setanding dengan yang lain dari segi saiz, khasiatnya dipersetujui pengkaji Timur dan Barat, malah dengan kadar magnesium yang tinggi mampu mencegah kanser. Di sini, terserlah rahsia kebaikan amalan sunnah itu.

Ahad, 16 Ogos 2009

assalamualaikum....